Bahasa Melayu Singapura yang baku dan dinamik dan dibanggakan oleh penggunanya.
Pemelihara status bahasa
MBMS sebagai institusi pemikir dan pemelihara bahasa Melayu yang menentukan status, dasar dan arah perkembangan dan pembinaan bahasa Melayu di Singapura dan menjadi pakar rujuk atau penasihat kepada Pemerintah Singapura dalam hal dan urusan bahasa Melayu di kementerian dan badan berkanun.
Peneraju kegiatan bahasa
MBMS sebagai institusi induk atau pusat yang berwibawa menerajui, merancang, menyelaras dan melaksanakan program penyelidikan, pengembangan, peningkatan dan penggalakan bahasa, sastera dan persuratan Melayu yang berkesan di Singapura, alam Melayu dan dunia antarabangsa.
Pendukung pengembangan bahasa
MBMS sebagai pendukung utama yang bertanggungjawab menggalakkan penghasilan, pemupukan dan pengiktirafan golongan elita dan rakan bahasa dan budaya Melayu sebagai ikon masyarakat.
Majlis Bahasa Melayu di Singapura ditubuhkan pada bulan April 1981 sebagai Jawatankuasa Pembakuan Ejaan Melayu oleh Kementerian Kebudayaan Singapura. Jawatankuasa ini bertugas memastikan semua ejaan bahasa Melayu yang digunakan di Singapura ditulis dengan betul menurut kaedah baru ejaan rumi yang dipakai di Malaysia dan di Indonesia.
Pada tahun 1983, Jawatankuasa Ejaan tersebut diubah menjadi Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura yang diletakkan di bawah naungan Kementerian Kebudayaan dan sekarang, Kementerian Penerangan dan Kesenian. Dari tugas memantau sistem ejaan bahasa Melayu di Singapura, fungsi Jawatankuasa Bahasa Melayu diperluas kepada mengembang dan memajukan bahasa Melayu di Singapura. Memandangkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan semakin luas dalam bidang bahasa Melayu, Jawatankuasa tersebut telah dinaikkan statusnya menjadi sebuah “Majlis”. Dengan itu, pada bulan September 1992, Jawatankuasa tersebut dikenali sebagai Majlis Bahasa Melayu Singapura( MBMS). Antara tugas Majlis MBMS adalah seperti berikut:
- membakukan sistem ejaan bahasa Melayu di Singapura;
- membincangkan, memutuskan, dan memilih istilah-istilah yang sesuai serta menyelesaikan masalah berkenaan istilah bahasa Melayu;
- menangani masalah pencemaran bahasa di Singapura;
- mengembangkan, mempertingkatkan, dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di Singapura.
Antara tugas-tugas mengembang,memaju dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di Singapura, MBMS menganjurkan dua aktiviti penting di negara tersebut : Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan. Bulan Bahasa mula diperkenalkan di negara tersebut pada tahun 1962 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Budaya Kebangsaan, sebuah badan yang ditubuhkan oleh pemerintah untuk mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Selepas penutupan Dewan Bahasa dan Budaya Kebangsaan pada tahun 1969, aktiviti Bulan Bahasa tersebut lenyap begitu sahaja. Pada 1982, Majlis Pusat, sebuah badan kebudayaan di bawah naungan Kementerian Kebudayaan Singapura telah menganjurkan Bulan Bahasa Melayu. Namun, pada tahun-tahun selepas itu, Bulan Bahasa Melayu tidak kedengaran lagi. Pada tahun 1988, aktiviti Bulan Bahasa dihidupkan semula oleh MBMS (ketika itu Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura) dan badan-badan setempat sehingga kini.
Bulan-bulan bahasa diharap dapat menyatu dan menyelaras kegiatan-kegiatan bercorak kebahasaan di Singapura sehingga menjadi sesuatu kegiatan masyarakat dan nasional yang penting.Melalui Bulan Bahasa, MBMS telah berjaya membina suatu landasan ke arah pembentukan suatu tradisi kegiatan bahasa yang penting di Singapura.
Kegiatan-kegiatan bahasa tersebut akan dianjurkan MBMS dengan bantuan badan-badan setempat yang perlu memohon untuk mendapatkan subsidi dari MBMS. Jumlah subsidi yang diberi bergantung kepada jumlah peserta yang terlibat dan kesan aktiviti tersebut dalam mengembangkan bahasa Melayu di negara tersebut.
Kegiatan Anugerah Persuratan, satu kegiatan yang dimulakan oleh ASAS 50 pada tahun 1973 sebagai Hadiah Sastera pula dijalankan dengan harapan untuk menggalakkan penulis-penulis muda dan yang berpengalaman, terus menulis karya-karya sastera agar dapat mengayakan dunia sastera Melayu. Anugerah tersebut juga dijalankan untuk memberi pengiktirafan terhadap kerja mereka.
Majlis Bahasa Melayu Singapura mewakili Singapura di sidang-sidang MABBIM. MABBIM atau Majlis Bahasa Brunei,Indonesia, dan Malaysia merupakan sebuah badan serantau yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972 untuk memastikan bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia, Malaysia, dan Brunei Darussalam berkembang terus untuk menjadi bahasa pertuturan bersama untuk lebih 200 juta orang manusia di rantau ini. Di antara bidang usaha bersama yang dibincangkan di Sidang MABBIM termasuklah penyeragaman dalam masalah-masalah ejaan, istilah, dan tatabahasa.
Singapura, sebuah negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan salah satu daripada empat bahasa rasminya, menjadi pemerhati dalam sidang-sidang MABBIM sejak tahun 1985. MBMS mengakui manfaat yang diperolehi sejak menghadiri sidang-sidang MABBIM yang termasuk:
- Persetujuan-persetujuan yang dibuat Sidang MABBIM telah membantu Singapura mengikuti perkembangan bahasa Melayu,
- Singapura tidak perlu lagi bergantung pada sumber-sumber tidak rasmi berkenaan maklumat tentang ejaan dan peristilahan bahasa Melayu yang sering diterima lewat atau tidak lengkap,
- MBMS dapat menawarkan bantuan sebagai badan berkuasa dan rujukan rasmi berkenaan bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah, media massa dan masyarakat awam, dan
- membantu menyelarikan penggunaan bahasa Melayu di Singapura dengan bahasa Melayu standard kini. Jika tidak, Singapura akan tertinggal dalam aspek ejaan dan peristilahan bahasa Melayu.