Noor Hasnah Adam
Yang patah akan tumbuh, yang hilang berganti. Jika benar kekata ini, maka Noor Hasnah Adam adalah tunas harapan golongan muda dalam arena persuratan Singapura pada hari ini. Penulis, pelukis dan pemuzik muda ini mula mengembangkan sayapnya seawal sekolah rendah lagi dengan menyertai peraduan, tidak kira apa. Motivasi awalnya mudah – untuk mendapat hadiah.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang tidak berada, hadiah-hadiah yang dimenangi menjadi dorongan dan amat dihargai. Potensi besarnya mula ditunjukkan dengan memenangi beberapa peraduan walaupun terpaksa berentap dengan mereka yang lebih dewasa daripadanya. Penulis ini mula menulis secara serius pada lewat 90-an, hasil daripada dorongan guru-gurunya, Cikgu Mohammad Ali Hanafiah dan Cikgu Othman Salam. Merekalah yang menjadi penggalak dan pengkritik. Minat ini membuahkan hasil kerana beliau telah memenangi tempat kedua dalam Anugerah Pena Emas 2001 yang dianjurkan oleh SPH dan NAC.
Dewasa ini, dorongan beliau menulis melebihi motivasi awalnya. Kecekapan menulis, merakam dan menilai sesuatu keadaan, menjadikan penulisan beliau sebagai satu penzahiran tanggungjawab sosial. Penulisan beliau tidak hanya terhad pada penulisan cerpen dan sajak. Kepakaran menulis ini diluahkan juga dalam esei-esei budaya dan komik yang boleh didapati di Internet melalui lelaman webnya. Noor Hasnah Adam juga pernah menghasilkan buku komik Gelak Khas, hasil gabungan 14 kartunis dan KCR Berita Harian.
Kini, pelbagai anugerah dan hadiah telah dirangkul oleh penulis muda kita ini, antaranya Hadiah Sastera Cerpen Remaja 2001 dan hadiah sagu hati dalam peraduan menulis sajak dan cerpen anjuran Muzium Sejarah Singapura dan NUS. Sesuai dengan status mudanya, media baharu dijadikan saluran untuk menyebarkan karya-karyanya. Beliau juga berbangga sekiranya hasil penulisan beliau digunakan oleh khalayak sebagai bahan pengajaran ataupun untuk dihayati dan dideklamasikan.
Namun, pastinya perjuangan penulis muda ini tidak akan berakhir di sini. Noor Hasnah Adam amat mengagumi penulis-penulis hebat seperti Cikgu Aliman Hassan, Cikgu Muhammad Ariff Ahmad dan Cikgu Suratman Markasan. Tokoh-tokoh ini dijadikan ukur tara bagi menilai dirinya dan sumbangannya. Dari itu, Noor Hasnah Adam ingin sekali melihat dirinya menulis skrip drama atau novel, sekaligus menyumbang terus dalam bidang persuratan Singapura.
Dengan watikah yang ringkas ini, maka Majlis Bahasa Melayu Singapura dengan penuh takzim mengurniakan ANUGERAH HARAPAN 2009 kepada Noor Hasnah Adam.