Penerima Anumerta Tun Seri Lanang 2009

Haron Abdul Majid

Dalam setiap generasi, akan muncullah satu pelita yang akan menghiasi persada seni tanah air. Bagi generasi ini, tidak dapat disangkal lagi, kehadiran Haron Abdul Majid, merupakan penyeri seni persuratan tempatan.

Haron Abdul Majid, penulis lirik dan sajak yang prolifik, hinggakan beliau terkenal di seluruh nusantara. Sentuhan magis beliau dalam menulis lirik sesungguhnya menyentuh kalbu seorang penyanyi dan pastinya para pendengar.

“Dari Jauh Ku Pohon Maaf” sinonim dengan Haron Abdul Majid. Lagu ini, nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad, telah menaikkan nama beliau. Haron Abdul Majid adalah gergasi dalam penulisan lirik lagu Melayu. Beliau telah menulis lebih daripada 800 lirik lagu sepanjang hayatnya bagi penyanyi-penyanyi di seluruh Nusantara.

Haron Abdul Majid mula menulis sekitar tahun 70-an. Sebelum itu, beliau juga menulis dalam genre puisi, cerpen, drama dan esei. Bidang penulisan lirik menonjolkan kehadirannya dalam seni persuratan. Lirik-lirik beliau menghiasi lagu-lagu popular pada waktu itu yang dinyanyikan oleh kugiran-kugiran popular seperti Carefree dan Black Dog Bone dan juga penyanyi Sharifah Aini. Tanpa disedari, ramai daripada kita yang sering mendengar dan membesar dengan lirik-lirik ilhamnya.

Pada pagi 1 Syawal tahun 2008, Haron Abdul Majid menyahut panggilan Illahi. Dengan pemergiannya, lenyaplah pelita yang kian lama menghiasi dunia kesusasteraan Melayu

Dengan watikah yang ringkas ini, maka Majlis Bahasa Melayu Singapura dengan penuh takzim mengurniakan ANUMERTA TUN SERI LANANG 2009 kepada Haron Abdul Majid.